KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu menghormati perasaan individu yang mengalami tekanan perasaan dengan mendengar luahan tanpa prasangka atau memandang remeh masalah mereka untuk membantu golongan ini meneruskan kehidupan.
Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Dr Azmawaty Mohamad Nor berkata persepsi negatif akan menjadikan golongan ini kian takut untuk meluahkan perasaan, sekali gus menyebabkan mereka mengasingkan diri serta meningkatkan risiko cubaan membunuh diri.
“Mereka rasa apa yang mereka buat orang akan pandang (negatif) dan ciri-ciri yang kita risaukan apabila mereka mula mengasingkan diri, mula berasa hidup ini sudah tidak bermakna dan cuba membunuh diri.
“Timbul rasa mahu bunuh diri apabila bagi mereka sudah tidak ada jalan keluar mahupun ruang untuk bercerita,” katanya ketika ditemu bual dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini pada Isnin.
Berikutan itu, beliau berkata langkah kerajaan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan cubaan bunuh diri merupakan langkah terbaik dalam usaha membantu mereka yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.
“Kita perlu merawat bukan menghukum kerana mereka ini yang terkesan, jadi jalan terbaik adalah dengan memberi ruang dan bantuan, bawa mereka untuk mendaptkan kaunseling kerana faktor tiada ruang dan akses menyebabkan mereka buntu, susah untuk keluar dari kepompong itu,” katanya.
Azmawaty berkata banyak kajian sebelum ini menunjukkan bahawa kaedah mengenakan hukuman atas tindakan cubaan membunuh diri tidak dapat membantu menyelesaikan masalah sebaliknya menyebabkan mereka beranggapan sudah tiada ruang untuk bercerita serta meluahkan perasaan.
Pada tahun 2022 sebanyak 703,000 individu didapati membunuh diri setiap tahun dengan perbezaan hanya 40 saat bagi setiap satu kematian yang berlaku.