KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) boleh lebih beransur dalam menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) selepas menaikkan kadar itu sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Mei, kata pakar ekonomi.
Ahli Ekonomi Kanan UOB Group, Julia Goh berkata OPR berada pada tahap neutral apabila ia mencecah 3.0 peratus, iaitu tidak terlalu ketat dan mencukupi untuk mengendalikan risiko inflasi.
“Apabila anda hampir mencapai kemuncak kenaikan kadar, kami berpandangan mungkin wujud ruang untuk mereka berhenti seketika bagi mempertimbangkan trend semasa dengan menilai kesan kenaikan kadar yang lepas terhadap ekonomi sebelum memutuskan tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di luar Forum UOB Asset Management di sini, pada Rabu.
Beliau berkata dengan meneliti data ekonomi terkini yang menunjukkan eksport pembuatan lebih lemah manakala pemulihan ekonomi China — rakan dagang utama Malaysia — pula tidak begitu kukuh, ini akan memberi kesan limpahan kepada ekonomi dan pemulihan Malaysia.
“Jadi, mengambil kira semua perkara ini, dan inflasi keseluruhan Malaysia yang turut menunjukkan trend sederhana, kami berpandangan penggunaan swasta juga telah menjadi sederhana dan normal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpendapat Malaysia kini menghadapi cabaran bukan hanya dari luaran malah juga dari peringkat domestik.
Beliau berkata paras kadar faedah semasa telah menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah memandangkan hutang isi rumah amat tinggi.
Dasar monetari Malaysia tidak sepatutnya terpengaruh dengan tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), katanya.
“Sehingga September tahun lepas, kadar faedah kita masih lebih tinggi berbanding dengan AS. Tidak betul jika kita terus menaikkan (kadar faedah) seperti AS. Fed juga melakukan banyak pertimbangan mengenai ekonomi domestik mereka kerana mengalami tekanan inflasi yang tinggi.
“Situasi kita di sini berbeza, jadi tidak semestinya kita perlu ikut langkah yang dibuat AS,” katanya.
Sementara itu, mengenai aliran menurun ringgit, Noor Azlan berpandangan selain OPR, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meneliti pembaharuan struktur bagi membantu menstabilkan mata wang.
“Ramai di antara kita terlalu menumpukan turun naik harian ringgit berbanding dolar AS namun tidak ramai yang meneliti turun naik itu berdasarkan tahun ke tahun atau berasaskan tempoh.
“Sejak 2005, ringgit bergerak dalam dua jalur. Selepas ringgit dinyahtambat, mata wang ini bergerak daripada RM2.9 kepada RM3.8 berbanding dolar AS sehingga 2015, manakala dari 2016 dan seterusnya, unit domestik bergerak dalam julat RM3.8 dan hingga RM4.7 baru-baru ini,” katanya.
Noor Azlan berkata jika perubahan berlaku dalam jalur ini, ia akan menjadi fenomena jangka pendek namun, jika bergerak di luar jalur, ia mungkin masalah struktur.
Sumber: Berita Awani