Kesihatan

BEDUNG BAYI BANYAK MANFAAT, NAMUN PERLU DISESUAIKAN DENGAN CUACA

Amalan membedung boleh membantu bayi berusia antara sifar hingga tiga bulan berasa lebih hangat, selesa dan selamat seperti berada di dalam rahim. Balutan yang kemas juga dapat mengurangkan refleks Moro atau gerakan terkejut yang sering menyebabkan bayi terjaga ketika tidur.

Menurut Kaunselor Laktasi, Nad Masrom, jenis kain bedung perlu dipilih berdasarkan cuaca. Di Malaysia, kain yang ringan, nipis dan mempunyai pengudaraan baik lebih sesuai digunakan bagi mengelakkan bayi terlalu panas, berpeluh atau mengalami kemerahan pada kulit.

Bedung perlu dipasang kemas pada bahagian dada tetapi tidak terlalu ketat sehingga mengganggu pernafasan. Bahagian pinggul dan kaki pula mesti diberikan ruang untuk membengkok serta bergerak, manakala bayi yang dibedung perlu sentiasa ditidurkan dalam keadaan terlentang.

Ibu bapa turut disarankan memastikan kain tidak longgar sehingga boleh menutupi muka bayi dan menghentikan amalan tersebut apabila bayi mula menunjukkan tanda mahu berguling. Bedung bukan satu kewajipan kerana penggunaannya perlu mengambil kira keselesaan serta keselamatan setiap bayi.