Kesihatan

Autisme Kanak-Kanak Naik Drastik, ADHD Juga Menunjukkan Peningkatan

Dr Dzulkefly menyatakan bahawa jumlah kes kanak-kanak yang disahkan mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) juga meningkat dari 79 kes pada tahun 2013 kepada 268 kes pada tahun lalu.

Jumlah kanak-kanak di bawah 18 tahun yang disahkan menghidapi autisme meningkat kepada 1,681 kes pada tahun lepas, berbanding dengan 183 kes pada tahun 2013.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bilangan kanak-kanak yang disahkan mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) juga meningkat dari 79 kes pada 2013 kepada 268 kes pada tahun lepas.

“Peningkatan kes ADHD dan autisme boleh dikaitkan dengan beberapa faktor antaranya program pengesanan awal Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan projek pengesanan awal ketidakupayaan termasuk autisme dan ADHD sejak 1990-an.

“Latihan berterusan, pembangunan Panduan Amalan Klinikal (CPG) dan saringan menggunakan M-CHAT meningkatkan keupayaan anggota kesihatan dalam mengesan awal kes-kes ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Dr Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai punca berlakunya peningkatan kedua-dua kes berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bahan pendidikan yang mudah diakses, kempen dan sambutan Hari Autisme Sedunia setiap tahun merupakan kaedah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat.

“Selain itu, pengesanan kes ini juga dilakukan di sekolah. Guru-guru dilatih untuk mengenal pasti kategori ini dalam kalangan pelajar dan membolehkan intervensi awal dijalankan,” ujarnya.

Dr Dzulkefly mengakui bahawa sehingga kini, tidak ada kajian khusus yang dilakukan untuk mengurangkan kes ADHD dan autisme kerana sebab-sebabnya masih belum diketahui.

Beliau juga menyatakan bahawa berdasarkan kajian literature, beberapa amalan terbaik yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko termasuk penjagaan sebelum hamil, mengelakkan pencemaran asap rokok, ibu hamil tidak merokok serta mengelakkan pengambilan alkohol atau ubat tanpa nasihat doktor.

“Pada masa sama, amalkan pemakanan sihat dan ambil suplemen seperti zat besi dan asid folik untuk perkembangan otak bayi serta elakkan racun perosak atau plumbum.

“Selain itu, pastikan persekitaran bebas tekanan untuk perkembangan emosi dan kognitif yang sihat serta pengesanan atau intervensi awal untuk meningkatkan keupayaan anak mengatasi masalah dan menyertai masyarakat sepenuhnya serta memberi impak positif terhadap perkembangan mereka,” jelasnya.