JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), menyeru agar negara-negara anggota ASEAN yang mempunyai semangat keagamaan yang tinggi, perlu menjadi tonggak keamanan dunia, lapor Agensi Berita ANTARA.
Beliau membuat kenyataan itu di Forum Dialog Antara Budaya dan Antara Agama ASEAN 2023 (ASEAN IIDC) yang dianjurkan oleh Lembaga Eksekutif Nahdlatul Ulama (PBNU) bersama-sama Kementerian Luar Indonesia di Jakarta pada Isnin.
“ASEAN harus menjadi tonggak keamanan dunia. Saya yakin bahawa komuniti ASEAN mempunyai semangat keagamaan yang semakin menebal,” kata Jokowi.
Beliau menekankan ASEAN perlu menjadi tonggak keamanan berikutan pergolakan global. Menurut Indeks Kesejahteraan Global 2023, konflik melibatkan 91 negara, dengan jumlah kematian sebanyak 238 ribu mengakibatkan kerugian ekonomi sebanyak US$17.5 trilion.
Namun, masyarakat dunia dilihat semakin kurang beragama. Tinjauan IPSOS Global Religion 2023 menunjukkan 29 peratus individu adalah agnostik dan ateis membabitkan 19,731 orang dari 26 negara.
“Menurut data dari Pusat Penyelidikan EU, jumlah insiden keganasan fizikal turut meningkat,” tegas Jokowi.
Beliau percaya bahawa peserta 2023 IIDC mempunyai komitmen untuk menyokong ASEAN menjadi contoh toleransi dan perpaduan, serta peneraju keamanan dunia.
“Negara-negara ASEAN, termasuk Indonesia, berjaya mengekalkan tradisi toleransi yang kukuh di tengah-tengah kepelbagaian budaya dan agama. Indonesia juga mampu mengekalkan keharmonian meskipun kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya, agama, dan kepercayaan.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan peranan konstruktif pemimpin agama dan budaya di ASEAN, termasuk melalui dialog antara budaya dan persidangan antara agama ini,” katanya.
Beliau menzahirkan harapannya bahawa forum ini akan membawa pemahaman yang lebih luas dan boleh menjadi asas kukuh untuk menjadikan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan dan pusat keharmonian dunia.
Sementara itu, Pengerusi pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), Yahya Cholil Staquf, menyatakan bahawa acara ini adalah kesinambungan daripada Forum Dua Puluh (R20) yang diadakan tahun lalu.
Beliau berkata bahawa komuniti ASEAN dan Indo-Pasifik sebenarnya telah mewarisi satu tamadun bersama yang menjadi warisan budaya bersama, dengan toleransi dan keharmonian sebagai ciri utama.
Justeru, pihaknya memulakan Forum IIDC ASEAN 2023 untuk menggalakkan toleransi dan keamanan yang diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakt global secara keseluruhannya.
“Pada Persidangan ASEAN, Indonesia mencadangkan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan, jadi kami juga ingin menyumbang idea untuk menyokong aspirasi itu dengan menjadikan ASEAN pusat perdamaian, toleransi, dan harmoni,” katanya.
Acara berkenaan dihadiri oleh 200 peserta, termasuk 11 penceramah tempatan, 15 penceramah asing, dan 27 delegasi dari negara-negara ASEAN dan negara-negara lain, seperti Amerika Syarikat, China, India, dan Jepun.