WASHINGTON: Amerika Syarikat mengesahkan menerima laporan berkaitan penahanan wartawan Al Jazeera oleh tentera Israel.
Menurut jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel, Washington kini menanti maklumat lanjut dari Israel berkaitan insiden itu.
“Kami maklum berkenaan laporan dan meminta kerajaan Israel untuk memberikan maklumat lanjut. “Tetapi pada umumnya, kami jelas berkenaan wartawan memainkan peranan penting dan tiada kalangan wartawan sepatutnya menjadi sasaran dalam konflik ini.
“Dengan situasi di Gaza, kami percaya kewartawanan dan suara mereka adalah penting. Sehubungan itu dalam hal ini, kami telah meminta maklumat lanjut,” katanya.
Agensi media yang berpangkalan di Qatar itu mendakwa Israel menyerang korespondennya Ismail Alghoul di Gaza ketika sedang bertugas.
Al Jazeera turut mendakwa peralatan yang digunakan Ismail dimusnahkan.
Agensi itu sebelum ini menuntut agar wartawannya, Ismail Alghoul, yang ditahan ketika dia menjalankan tugas di Hospital Al-Shifa di Gaza, dibebaskan segera.
Ismail ditangkap pada pagi Isnin bersama beberapa wartawan lain ketika membuat liputan serangan tentera Israel ke atas hospital itu.
Menurut saksi, Ismail dipukul teruk dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.
Agensi tersebut menyifatkan penahanan itu sebagai taktik intimidasi terhadap wartawan bagi menghalang mereka daripada melaporkan jenayah yang dilakukan Israel terhadap orang awam di Gaza.
Penahanan itu juga merupakan yang terbaharu dibuat terhadap kakitangan Al Jazeera selepas pembunuhan Shireen Abu Akleh, Samer Abu Daqqa dan Hamza Al-Dahdouh.
Selain ugutan terhadap beberapa wartawan dan ahli keluarga mereka, rejim Zionis turut terbabit terhadap pengeboman pejabat Al Jazeera di Gaza.