Jenayah

DADAH RM1.03 JUTA DISOROK DALAM KOTAK KASUT DAN PERALATAN DI KLIA

– Foto Bernama –

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja dan ketamin dengan berat keseluruhan 16.39 kilogram. Rampasan dalam dua kes berasingan itu dianggarkan bernilai RM1.03 juta dan dikesan menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa JKDM.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, kes pertama melibatkan penemuan tujuh bungkusan kotak mengandungi 7.28 kilogram bunga ganja bernilai RM582,400 di Pusat Mel Antarabangsa Pos Malaysia, KLIA pada 12 Oktober lalu. Dadah tersebut dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara Eropah dan ditemukan dalam bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang disorokkan di dalam kotak yang diikrarkan sebagai kasut serta barang permainan.

Dalam kes kedua pada 9 Oktober, anggota Bahagian Penguatkuasaan merampas sebuah kotak mengandungi sembilan bungkusan aluminium berisi 9.114 kilogram ketamin bernilai RM455,700. Rampasan dilakukan di sebuah terminal kargo dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA selepas dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Eropah menggunakan perkhidmatan kargo untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

Ketamin tersebut disembunyikan dalam bungkusan aluminium dan dimasukkan ke dalam kotak yang diikrarkan sebagai sepana paip serta kotak peralatan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa. Siasatan awal juga mendapati kedua-dua penghantaran menggunakan maklumat pengirim dan penerima yang palsu atau tidak lengkap, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, JKDM KLIA turut menyita dua kereta Mini Cooper S yang dianggarkan bernilai RM180,000 di dua lokasi sekitar Sepang pada 14 September lalu. Kedua-dua kenderaan itu dipercayai diseludup masuk tanpa permit import yang sah dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, membabitkan anggaran cukai serta duti RM154,620, sementara usaha mengesan pemiliknya masih dijalankan.