
IPOH, 20 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpotensi menjadi hab pembangunan sukan golf dan pelancongan sukan di Perak, sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata penganjuran Kejohanan Golf Universiti Awam Malaysia Ke-53, 2026, membuktikan keupayaan UPSI menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan sukan.
Beliau berkata kekuatan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) serta kedudukan UPSI di Tanjong Malim memberikan kelebihan kepada universiti itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan sukan golf.
“Penganjuran kejohanan ini berjaya membawa ratusan pemain, pegawai dan keluarga dari seluruh negara untuk merasai sendiri keindahan dan kemudahan padang golf bertaraf dunia di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Kejohanan Golf Universiti Awam Malaysia Ke-53, 2026, di Dewan Jubilee Ballroom, Royal Perak Golf Club di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Khairudin berkata kejohanan itu turut mencerminkan jalinan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, institusi pendidikan tinggi awam, khususnya UPSI, dan komuniti golf universiti awam di seluruh negara.
Beliau berkata kerjasama berkenaan diharap dapat diteruskan menerusi pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan sukan, malah memperkukuh hubungan antara universiti dengan kerajaan negeri.
“UPSI telah membuktikan bahawa universiti bukan sahaja pusat ilmu, tetapi juga rakan strategik negeri dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan dan sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Khairudin turut mengucapkan tahniah kepada UPSI, Royal Perak Golf Club, Meru Valley Golf Resort, Kinta Golf Club, penaja, urus setia, pasukan teknikal serta sukarelawan yang menjayakan kejohanan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kejohanan yang memasuki edisi ke-53 itu bukan sekadar pertandingan untuk merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi platform mengeratkan silaturahim dan hubungan dalam kalangan warga universiti awam.
Beliau berkata penganjuran kejohanan itu turut membuka peluang kepada pemain berbakat dalam kalangan warga universiti awam untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan kebangsaan.
Menurutnya, kejohanan yang menghimpunkan 276 peserta daripada 18 pasukan universiti awam itu turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi perbelanjaan penginapan, makanan, pengangkutan, sewaan padang golf dan logistik penganjuran.
“Penganjuran kejohanan ini juga memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan komuniti setempat, selain mengangkat sukan golf sebagai platform pembangunan bakat dan jalinan silaturahim warga universiti awam,” katanya.
Penulisan ini di tulis oleh Bazli Bin Abdul Razak.




