Global

INDONESIA BUKA PINTU BANTUAN ASING, USAHA PADAM KEBAKARAN DIPERHEBAT

Indonesia meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran bagi memperkukuh usaha menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas di republik itu. Presiden Prabowo Subianto telah memberikan persetujuan terhadap cadangan berkenaan, manakala Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) kini mengadakan perbincangan teknikal bagi menentukan kaedah pelaksanaan dan bentuk bantuan yang diperlukan.

Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata, tawaran daripada negara jiran sudah dibincangkan dan sedang melalui proses penyelarasan. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan negara yang akan terlibat atau jenis bantuan yang bakal diterima ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta.

Malaysia sebelum ini menawarkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 52 anggota untuk membantu operasi pemadaman kebakaran. Singapura turut menyatakan kesediaan menyalurkan bantuan selepas Menteri Kemampanan dan Sekitarannya, Grace Fu menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia bagi menawarkan sokongan menghadapi krisis tersebut.

Kerajaan Indonesia telah menggerakkan kira-kira 60,000 anggota ke enam wilayah keutamaan dengan bantuan helikopter dan pesawat bagi melaksanakan operasi pengeboman air serta modifikasi cuaca. Prabowo dilaporkan memberikan perhatian serius terhadap kebakaran berkenaan kerana jerebu memberi kesan besar kepada kawasan terjejas, manakala keadaan cuaca mencabar terus menyukarkan operasi pemadaman.

Ketua BNPB yang baharu, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi berkata, pihaknya akan menilai aset kerajaan daerah dan pusat serta mengenal pasti bantuan luar negara yang boleh dipercepatkan. Indonesia juga terus berkongsi data kebakaran, langkah mitigasi dan perkembangan terkini melalui mekanisme ASEAN, dengan laporan terbaharu menunjukkan pengurangan jumlah titik panas di kawasan terjejas.