Pendidikan

MUHYIDDIN TUNTUT TINDAKAN TEGAS, KESELAMATAN SEKOLAH PERLU DIAUDIT MENYELURUH

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa pemergian tragis pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, di Yong Peng, Johor tidak seharusnya berakhir dengan ucapan takziah semata-mata. Sebaliknya, tragedi tersebut perlu disusuli tindakan pembetulan yang drastik bagi memastikan kelemahan keselamatan di sekolah dikenal pasti dan ditangani segera.

Muhyiddin berkata Kementerian Pendidikan Malaysia tidak seharusnya menunggu sehingga siasatan polis selesai untuk melaksanakan langkah pencegahan. Menurutnya, kementerian perlu menjalankan audit menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan mekanisme menangani buli di semua sekolah, termasuk menilai keberkesanan saluran aduan serta tindakan susulan terhadap setiap laporan yang diterima.

Beliau menegaskan bahawa sebarang kelemahan dalam aspek pemantauan, disiplin, keselamatan serta pengurusan kes buli dan keganasan mesti diperbaiki dengan segera. Setiap tanda awal seperti ugutan, gangguan, perbuatan membuli atau ancaman terhadap keselamatan murid juga perlu dipandang serius sebelum keadaan berkembang menjadi lebih buruk.

Muhyiddin yang juga bekas Menteri Pelajaran turut menggesa pihak berkuasa menyempurnakan siasatan secara telus, segera dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur jenayah atau kecuaian, tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau identiti pihak yang terlibat.

Dalam masa sama, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya atas kehilangan insan tersayang pada usia muda. Muhyiddin turut meminta masyarakat tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat yang belum disahkan bagi menghormati emosi keluarga mangsa dan memastikan proses siasatan berjalan lancar, sambil menegaskan setiap murid berhak belajar serta pulang kepada keluarga dalam keadaan selamat.