Hiburan

HOUSE OF KUDRAT MERIAH, LEBIH 9,000 PEMINAT BANJIRI IOI CITY MALL

– Foto Astro Shaw –

Lebih 9,000 peminat membanjiri acara House of Kudrat di IOI City Mall, Putrajaya bagi bertemu barisan pelakon siri popular Kudrat 1968: High Council. Sambutan luar biasa itu menyaksikan sebahagian peminat sanggup beratur sejak awal pagi, sekali gus membuktikan pengaruh kuat siri berkenaan dalam kalangan penonton tempatan.

Ketua Pemasaran Studio dan Pengedaran Astro Shaw, Norsalvina Alwee berkata, acara tersebut memberi peluang kepada peminat merasai sendiri dunia Kudrat yang sebelum ini hanya dapat disaksikan menerusi televisyen atau telefon. Pertemuan secara bersemuka juga membolehkan pasukan produksi memahami minat dan pengalaman penonton dengan lebih dekat, selain memperkukuh hubungan dengan komuniti sedia ada serta menarik pengikut baharu.

Sambutan terhadap siri berkenaan turut berkembang di media sosial apabila peminat aktif membincangkan watak, jalan cerita dan menghasilkan pelbagai teori sendiri. Pelakon Chech Harith mengakui terkejut melihat tahap penglibatan penonton dan menyifatkan suasana di House of Kudrat seperti sebuah ekspo anime, apabila ribuan pengunjung hadir untuk mendekati dunia fiksyen yang mereka minati.

Pengalaman itu turut diperluaskan menerusi kerjasama antara Astro Shaw dengan jenama tempatan Christy Ng yang menghasilkan koleksi beg serta stokin edisi terhad berilhamkan Kudrat 1968. Rekaan tersebut disesuaikan dengan pakaian seragam sekolah, latar set dan zaman yang dipaparkan dalam siri berkenaan, lengkap dengan penggunaan logo, warna dan bahan yang mencerminkan identiti dunia Kudrat.

Menurut pihak penganjur, sambutan terhadap House of Kudrat meneruskan momentum positif sejak acara pengenalan barisan pelakon dan program Light Up KL. Peminat boleh mengikuti perkembangan seterusnya menerusi episod ketiga Kudrat 1968: High Council yang dijadualkan bersiaran pada 9 Oktober dan boleh distrim menerusi Astro X3 serta sooka.