Global

MALAYSIA SEDIA ASET BANTU INDONESIA TANGANI KEBAKARAN DAN JEREBU

Malaysia telah mengemukakan senarai aset yang boleh digunakan bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang menjadi antara punca pencemaran udara dan jerebu rentas sempadan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bagaimanapun masih menunggu pengesahan serta kebenaran daripada Indonesia sebelum aset berkenaan boleh digerakkan.

Menurut beliau, tawaran bantuan itu telah disampaikan melalui Kedutaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). NRES turut menyediakan senarai aset yang bersedia digunakan dalam operasi berkenaan.

Setakat ini, belum ada pengesahan mengenai bentuk kerjasama yang akan dilaksanakan antara kedua-dua negara. Malaysia hanya boleh menggerakkan asetnya selepas memperoleh persetujuan rasmi daripada Indonesia.