
Kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan berjumlah AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa banjir serta menyokong usaha pemulihan pascabencana di negara berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut akan digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. Pasukan itu juga ditugaskan mengesan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.
Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara, dengan kerjasama Kementerian Luar, akan menyelaras dengan kerajaan Nepal supaya pasukan SMART dapat dihantar secepat mungkin. Mereka turut akan membantu Kedutaan Besar Malaysia menyelaras bantuan serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia.
Setakat laporan terbaharu, seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, manakala dua yang lain telah berjaya dikesan. Kementerian Luar turut memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia berada dalam senarai 771 individu yang telah diselamatkan dalam operasi di Rasuwa.




