Sukan

MALAYSIA SEKADAR NAIB JUARA, PENANTIAN EMAS 38 TAHUN BERLANJUTAN

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara terpaksa berpuas hati sebagai naib juara acara regu berpasukan Piala Raja Thai 2026 selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Fashion Island Mall, Bangkok.

Regu pertama Malaysia yang dianggotai Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran gagal menyumbang mata apabila kalah 7-15, 11-15.

Cabaran regu kedua menerusi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari turut berakhir dengan kekalahan 9-15, 12-15 kepada wakil tuan rumah.

Keputusan itu menyaksikan pasukan kendalian Ahmad Jais Baharun masih belum berjaya menamatkan penantian panjang negara dalam acara berkenaan. Kali terakhir Malaysia menjuarai regu berpasukan Piala Raja Thai adalah pada edisi 1988.