Gaya HidupKesihatan

JERAWAT BOLEH JEJAS EMOSI, RAWATAN WAJAR DIPERTIMBANGKAN

KUALA LUMPUR: Jerawat bukan hanya menjejaskan penampilan, malah merupakan penyakit kulit yang mungkin memerlukan rawatan bergantung pada kesannya terhadap seseorang.

Pakar Perunding Dermatologi UKM Specialist Centre, Prof. Dr. Adawiyah Jamil berkata, keperluan mendapatkan rawatan tidak ditentukan oleh jumlah jerawat semata-mata. Masalah itu juga boleh menurunkan keyakinan diri serta mengganggu emosi dan interaksi sosial.

Bagi individu berkulit normal, rutin asas yang merangkumi pencuci muka, pelembap dan pelindung matahari sudah memadai. Mereka yang mempunyai kulit mudah berjerawat pula perlu memilih produk bersesuaian dengan keadaan kulit masing-masing.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak terlalu terikut-ikut rutin penjagaan kulit yang mempunyai banyak langkah. Tindak balas kulit perlu dipantau dan penggunaan sesuatu produk hendaklah dihentikan jika mendatangkan masalah.