
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah menahan tiga individu termasuk dua pegawai penguat kuasa kanan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah sekitar RM30,000 daripada seorang lelaki.
Rasuah tersebut didakwa sebagai balasan untuk membebaskan rakan lelaki tersebut yang ditahan atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber berkata, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan di antara jam 2 hingga 5.30 petang tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan ketika itu dua pegawai penguat kuasa kanan ini bertugas di sebuah daerah di Terengganu.
“Siasatan awal mendapati duit rasuah tersebut disyaki digunakan oleh salah seorang suspek yang kini bertugas di sebuah daerah di Kedah dan isterinya untuk pelaburan judi secara dalam talian.
“Siasatan juga mendapati wang tersebut pada awalnya dipercayai telah dimasukkan ke dalam akaun pihak ketiga sebelum dipindah ke akaun milik isteri suspek,” katanya.
Sumber berkata, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dibuat.
Sumber: Astro Awani
