
Sebelas rakyat Malaysia dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas banjir besar melanda daerah Rasuwa di Nepal, menurut Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima maklumat daripada beberapa agensi pelancongan bahawa hubungan dengan kumpulan tersebut terputus. Keadaan itu dipercayai berpunca daripada gangguan serius terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
Pihak kedutaan kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang dikerahkan kerajaan Nepal bagi mengesan mereka dan memastikan tahap keselamatan masing-masing.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular. Bagi bantuan kecemasan, Kedutaan Malaysia di Kathmandu boleh dihubungi melalui talian +977 980 100 8000.




