Tempatan

‘Tiada kompromi sentuh 3R’ – KPN

KUALA LUMPUR – Tiada kompromi dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Katanya, perkara itu sering kali diingatkan pihaknya agar bersama menjaga sensitiviti semua pihak.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap masa memantau isu sebegini demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

“Polis mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dalam berkongsi pandangan atau pendapat menerusi media sosial tanpa menyentuh sebarang isu sensitif,” ujarnya.

Beliau berkata, masyarakat digesa salurkan maklumat dengan membuat laporan polis agar tindakan dan siasatan dapat diambil.

Tegasnya, siasatan kes ini akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Polis memandang serius isu 3R ini dan kita mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang provokasi yang mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Sinar Harian