
SELANGOR FC (SFC) bersedia menerima segala kemungkinan yang akan mereka hadapi setelah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam pertandingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menyatakan bahawa keputusan tersebut bukanlah suatu keputusan yang mudah, tetapi diambil selepas perbincangan bersama semua pemegang kepentingan pasukan tersebut.
“Kami bersedia untuk berdepan apa sahaja kesan yang bakal timbul susulan keputusan SFC ini. Perbincangan dibuat dengan pelbagai pihak dan keputusan itu diambil selepas pertimbangan wajar dan penelitian pelbagai faktor. Malah langkah ini juga mendapat sokongan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung SFC. Semua pihak mengambil maklum kenyataan itu dan baginda bertitah ini bukan sahaja aspek keselamatan tetapi membabitkan moral pasukan. Ia sudah terjejas susulan serangan asid ke atas pemain sayap kami, Faisal Halim,” ujar Shahril.
Pada Khamis, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pembatalan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan SFC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat, hasil daripada keputusan SFC untuk tidak mengambil bahagian dalam perlawanan tersebut.
Sususlan itu, badan pengurusan liga tersebut mengumumkan bahawa skuad Harimau Selatan akan diberikan tiga mata pertama bagi musim 2024/25 dan Piala Sumbangsih akan tetap diadakan di Johor.
Walau bagaimanapun, MFL menyatakan bahawa keputusan lain berkenaan penarikan diri SFC akan ditentukan selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL.
