Tempatan

Program Ekonomi MADANI di Kem Tentera: MINDEF Perkasa Warga ATM dengan Projek Inovasi dan Kelestarian

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh kesejahteraan warga dan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelaksanaan Program Ekonomi Madani di kem-kem tentera seluruh negara, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, inklusiviti dan kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MINDEF kekal sebagai kementerian strategik dengan peruntukan sebanyak RM21.74 bilion, meningkat 2.92 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM14.11 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) manakala RM7.63 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Antara pecahan utama termasuk:

RM6 bilion untuk pemodenan dan penyelenggaraan aset pertahanan.

RM500 juta bagi pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Pangkalan Udara Kuantan.

RM60 juta untuk bayaran khas RM500 kepada 120,000 penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Program kebajikan seperti PROTEGE dan Work-Based Learning (WBL) diwajibkan kepada syarikat penerima projek perolehan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran ATM.

Program Ekonomi MADANI di Kem Tentera

Menurut Kementerian, Program tersebut direka untuk memberi peluang kepada anggota dan keluarga mereka menjana pendapatan tambahan melalui:

Pertanian Pintar: Penanaman cendawan tiram menggunakan teknologi terkini.

Projek Madu Kelulut: Menghasilkan madu premium menggunakan kaedah mesra alam.

Usahawan Sosial: Memanfaatkan ruang di kem tentera untuk pengeluaran produk makanan dan kraftangan.

Kerjasama Universiti: Institusi-institusi Pendidikan Tinggi negara terlibat dalam pemindahan teknologi dan latihan.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber pendapatan tunggal, malah menyokong agenda keselamatan makanan negara dan pengurangan kos sara hidup. Ia juga selari dengan nilai-nilai MADANI yang digariskan oleh Kerajaan.

Dalam lawatan kerja ke Kem Sungai Ara, Pulau Pinang sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan:

“Bercakap mengenai kesiapsiagaan, kita bukan sahaja melihat kepada aset yang ada tetapi juga anggota dan keluarga mereka.


“Kita menghargai sumbangan serta pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia kerana kita faham bahawa kesejahteraan anggota termasuk soal kesejahteraan keluarga mereka,” katanya.


Mengambil projek madu kelulut sebagai contoh, beliau berkata, produk tersebut telah sedia dipasarkan, manakala hasil cendawan kini dalam proses rundingan untuk dipasarkan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).

“Sisa bongkah cendawan juga boleh dimanfaatkan sebagai baja organik. Ini menjadikan projek berkenaan bukan sahaja lestari, malah berpotensi besar untuk berkembang,” jelasnya.

Menurut Kementerian, pelaksanaan program direka bagi memberi impak positif yang ketara kepada komuniti pertahanan, iaitu dengan membantu keluarga anggota ATM meningkatkan taraf hidup mereka melalui peningkatan pendapatan.

Selain itu ia menyediakan latihan dan bimbingan meningkatkan daya saing mereka dalam bidang keusahawanan dan teknologi.

Tidak ketinggalan ialah konsep kelestarian, dengan memanfaatkan teknologi hijau dan amalan mesra alam, sejajar dengan prinsip pembangunan mampan.

Selain itu, program ini turut membuka peluang kepada anggota tentera yang bakal bersara untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu, sekali gus mengurangkan risiko pengangguran selepas tamat perkhidmatan.

Pertahanan Negara bukan sekadar soal kenteteraan

Inisiatif Program Ekonomi Madani di kem-kem tentera membuktikan bahawa pertahanan negara bukan sekadar soal ketenteraan, tetapi juga kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Di bawah kepimpinan Khaled, MINDEF telah berjaya mengintegrasikan konsep MADANI dalam ekosistem pertahanan, menjadikan kem tentera bukan sahaja benteng keselamatan, tetapi juga pusat pembangunan ekonomi yang mampan.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh daya tahan komuniti pertahanan, tetapi juga menyumbang kepada matlamat negara untuk mencapai kesejahteraan menyeluruh.