Tempatan

MALAYSIA PERKUKUH KOMITMEN KEMANUSIAAN DAN KEAMANAN GLOBAL


Dalam era penuh cabaran dengan krisis kemanusiaan, bencana alam dan konflik bersenjata
yang semakin kompleks, keperluan untuk penglibatan aktif negara dalam misi bantuan serta
usaha keamanan global menjadi semakin penting. Peranan ini bukan sahaja membawa nilai
moral yang tinggi, malah turut bersifat strategik dalam menjamin keamanan dan
kesejahteraan global. Malaysia terus menunjukkan komitmen padu terhadap usaha
kemanusiaan global menerusi pelaksanaan Operasi Starlight III iaitu misi bantuan berskala
besar di Myanmar. Dalam masa yang sama, penyertaan berterusan Malaysia dalam Misi
MALBATT di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan
keazaman negara untuk memainkan peranan aktif dalam usaha mengekalkan kestabilan
global.

Di samping itu, kehadiran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam
Forum Menteri-Menteri Pertahanan PBB di Berlin menyerlahkan aspirasi Malaysia untuk
bukan sahaja menjadi penyumbang sumber, malah pemacu dialog global berkaitan
keselamatan dan misi pengaman. Langkah ini mencerminkan strategi pertahanan Malaysia
yang seimbang antara pendekatan diplomatik, kemanusiaan dan pengoperasian ketenteraan
profesional. Keupayaan Malaysia menyesuaikan diri dalam pelbagai dimensi ini
menunjukkan kesungguhan negara dalam menyumbang secara aktif ke arah keamanan sejagat
yang lebih lestari dan inklusif.

Operasi Starlight III: Komitmen Malaysia dalam Menangani Krisis Kemanusiaan
Operasi Starlight III yang dilancarkan pada April 2025, merupakan respons pantas Malaysia
terhadap bencana gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda wilayah Sagaing, Myanmar.
Bertindak atas semangat solidariti ASEAN dan nilai kemanusiaan sejagat, kerajaan Malaysia
telah mengaturgerakkan seramai 69 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
bagi melaksanakan Operasi Starlight III.

Pasukan ini merangkumi pelbagai kepakaran termasuk Forward Anaesthesia and Surgical
Team (FAST) untuk mengendalikan Hospital Medan Malaysia (HMM), elemen teknikal
daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta Tim Keselamatan yang
bertanggungjawab memastikan keselamatan kawasan operasi sepanjang misi. Keseluruhan
pasukan ini diketuai oleh Kolonel (Dr) Ahmad Farhan bin Ahmad Fuad selaku Pemerintah
Operasi yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan misi di kawasan terjejas.

Bagi menyokong kelancaran operasi di lapangan, pasukan turut membawa pelbagai aset dan
peralatan penting termasuk Hospital Medan Tahap 2, kit perubatan lengkap, sistem
komunikasi dan teknikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta dua buah trak logistik.
Gabungan sumber manusia berkemahiran tinggi dan kelengkapan ini membolehkan ATM
melaksanakan respons kecemasan secara cekap, menyeluruh dan berkesan di peringkat
antarabangsa.

Hospital medan tersebut dibina dengan kemudahan rawatan tahap dua dan mampu
menampung sehingga 20 katil serta dilengkapi pelbagai fasiliti sokongan termasuk wad
pesakit, bilik pembedahan, unit rawatan rapi (ICU), makmal diagnostik dan peralatan
radiologi. Semua kemudahan ini disediakan bagi memastikan keperluan perubatan kritikal di
kawasan bencana dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

Sejak mula beroperasi pada 21 April 2025, misi ini telah mencatatkan kejayaan signifikan
dengan merawat 3,562 pesakit dan melaksanakan 493 prosedur pembedahan. Kejayaan ini
bukan sahaja mencerminkan kecekapan logistik dan kepakaran ATM dalam pengurusan
krisis, malah menegaskan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju utama dalam bantuan
kemanusiaan serantau yang berwibawa dan berdaya saing.

MALBATT: Legasi dan Tanggungjawab Malaysia dalam Misi Pengaman
Misi MALBATT (Malaysia Battalion) merupakan penyertaan Malaysia dalam misi pengaman
PBB yang bermula sejak 1960-an. Sehingga kini, MALBATT telah terlibat dalam lebih 38
misi termasuk di Congo, Lebanon (UNIFIL), Darfur (UNAMID) dan Sudan Selatan
(UNISFA). Pada tahun 2025, Malaysia memperkukuh lagi komitmen ini dengan menghantar
pasukan EOD (Explosive Ordnance Disposal) untuk menyokong operasi di bawah UNIFIL.

Lawatan Ketua Angkatan Tentera ke Lubnan pada April 2025 memperlihatkan hubungan erat
dan semangat solidariti antara anggota pasukan. Penglibatan Malaysia bukan sahaja
menyumbang kepada kestabilan global tetapi juga memperlihatkan keupayaan ketenteraan
kita dalam menangani konflik secara profesional dan diplomatik.

Diplomasi Strategik di Berlin: Malaysia Bentuk Naratif Keamanan Global
Pada 13 hingga 14 Mei 2025, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah
menghadiri High-level Session “Peacekeeping Reform: More Effective and Safer
Peacekeeping” UN Peacekeeping Ministerial Meeting 2025 di Berlin. Di forum ini, beliau
mengumumkan beberapa komitmen strategik termasuk penyediaan batalion infantri lengkap,
pengoperasian pasukan EOD, penyertaan anggota polis dan jururawat dalam misi PBB serta
peningkatan kapasiti latihan melalui Malaysian Peacekeeping Centre.

Beliau turut menyeru agar PBB melaksanakan reformasi struktur dalam operasi pengaman
dengan menekankan keperluan peningkatan teknologi seperti AI, keselamatan siber dan
sistem logistik moden. Dalam sesi dua hala bersama delegasi Jerman, Malaysia menyatakan
kesediaan untuk terlibat dalam latihan bersama termasuk penggunaan simulator A400M serta
memperkukuh kerjasama pertahanan melalui platform ADMM-Plus.

Mengapa Misi Kemanusiaan Penting bagi Malaysia?
Komitmen Malaysia terhadap misi kemanusiaan dan keamanan bukan hanya simbolik tetapi
membawa kepentingan strategik yang besar:

  1. Pengukuhan Diplomasi Kemanusiaan: Melalui Operasi Starlight, Malaysia
    menonjolkan peranan sebagai pemimpin ASEAN yang tangkas bertindak dalam
    situasi krisis dan bencana.
  2. Pembangunan Kapasiti Ketenteraan: Penyertaan MALBATT dan operasi
    antarabangsa memberi peluang kepada anggota ATM memperkasa kecekapan mereka
    dalam konteks global, meningkatkan kesiapsiagaan dan motivasi pasukan.
  3. Perluasan Jaringan Strategik Global: Penyertaan di Berlin memperlihatkan
    keberanian Malaysia untuk tampil bukan sekadar sebagai penyumbang tetapi juga
    sebagai pempengaruh dalam menentukan dasar dan halatuju operasi pengaman
    antarabangsa.
  4. Integrasi Teknologi Pertahanan Baharu: Kerjasama strategik dengan negara seperti
    Jerman membuka ruang luas kepada Malaysia untuk mengakses dan memanfaatkan
    kepakaran canggih dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan
    teknologi simulasi pertahanan. Akses kepada teknologi ini bukan sahaja
    memperkukuh keupayaan ketenteraan negara malah menjadi pemangkin transformasi
    dalam menghadapi cabaran keselamatan moden yang semakin kompleks dan
    berasaskan digital.

Malaysia jelas menunjukkan bahawa peranan dalam misi kemanusiaan dan keamanan dunia
bukan semata-mata tanggungjawab tetapi juga peluang. Daripada medan operasi seperti
Sagaing, Lubnan hingga ke dewan persidangan di Berlin, negara kita terus memposisikan diri
sebagai pemain strategik yang seimbang antara kekuatan pertahanan dan nilai kemanusiaan.

Kehadiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pentas antarabangsa, komitmen ATM
dalam pelbagai misi serta kejayaan operasi seperti Starlight dan MALBATT membuktikan
bahawa Malaysia bersedia bukan hanya untuk membantu tetapi turut memimpin dan
membentuk masa depan keamanan global. Dengan pendekatan bersepadu ini, Malaysia
memperkukuh peranannya sebagai kuasa sederhana yang dihormati, berintegriti dan berdaya
saing di peringkat dunia.