
Muhammad Hakim Danish Ramli seorang pelumba muda negara menyatakan kesiapannya untuk menghadapi Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis pada hujung minggu ini.
“Ini minggu keempat saya berlumba secara berturut-turut. Ini juga kali kedua saya berlumba di litar Le Mans selepas tahun lalu menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan kesembilan sebelum terjatuh di Perlumbaan 2. Tahun ini, sasaran saya adalah untuk bersaing dengan kelompok hadapan dan berharap untuk berada di podium lagi dalam kedua-dua perlumbaan. Jangan lupa support dan doakan saya minggu ini,” kata Hakim Danish.
Musim ini, pelumba berusia 17 tahun dari Kuala Terengganu memulakan kempen di Pusingan 1 Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Misano, Itali pada 21 April lalu. Hakim Danish kemudiannya menyertai Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Jerez, Sepanyol.
Pada Pusingan 1 tersebut, Hakim Danish berjaya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua. Setelah itu, dia menghadapi cabaran pada Pusingan 2 Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Estoril, Portugal minggu lalu.
