
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal menerajui Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden untuk penggal 2026 hingga 2030. Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KFA berlangsung sempena Kongres Tahunan KFA kali ke-51 di Wisma Darul Aman.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Tiga individu pula dipilih sebagai Naib Presiden, iaitu Datuk Kamil Din, Datuk Zuraidi Rahim dan Datuk Syed Yussof Syed Othman.
Bagi jawatan Ahli Eksekutif, lapan calon yang dipilih ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun, Baddrol Bakhtiar, Rozaimi Abd Rahim, Mohd Aizad Roslan, Safwan Hanif Shafie, Beh Ying Shen, P. Sithambaram, Idzham Nordin dan Abd Ra’uf Ibrahim. Nor Syafini Chik Buang pula dipilih sebagai Ahli Eksekutif Wanita bagi penggal baharu tersebut.
Mengulas hala tuju persatuan, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa setiap portfolio perlu mempunyai matlamat jelas, Petunjuk Prestasi Utama yang boleh diukur serta pelan tindakan jangka pendek dan panjang. Menurutnya, jawatan yang diberikan bukan sekadar kedudukan, sebaliknya amanah untuk menghasilkan keputusan dan pencapaian yang memberikan manfaat kepada KFA.
Beliau berkata, kematangan KFA yang telah berusia lebih satu abad perlu dibuktikan melalui tadbir urus cekap, disiplin kewangan, hubungan strategik kukuh dan keberkesanan program pembangunan. Kepimpinan baharu juga perlu memastikan keseluruhan ekosistem bola sepak Kedah bergerak secara tersusun, bermula daripada pembangunan akar umbi hingga ke pertandingan berprestasi tinggi.




