Hiburan

LEBIH 20,000 MERIAHKAN KENDURI RAKYAT BELLA-SYED SADDIQ DI SABAH

– Foto Bernama –

Lebih 20,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Padang Merdeka bagi menghadiri Kenduri Rakyat meraikan pasangan Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Orang ramai dilaporkan mula beratur seawal jam 5.30 pagi, sekali gus menjadikan kawasan di tengah-tengah bandar raya itu dipenuhi tetamu yang mahu berkongsi kegembiraan bersama pasangan berkenaan.

Kemeriahan majlis semakin terserlah apabila sebahagian pengunjung hadir mengenakan busana tradisional daripada pelbagai etnik di Sabah. Antara pakaian yang mencuri perhatian ialah busana masyarakat Bajau Semporna, Bajau Sama, Kadazan, Dusun Tindal, Dusun Kujau, Murut, Bugis, Bidayuh dan Lundayeh yang menampilkan keunikan warisan budaya masing-masing.

Kepelbagaian warna, corak dan reka bentuk pakaian tradisional bukan sahaja menambah seri majlis, malah menjadikan Padang Merdeka seolah-olah sebuah pentas kebudayaan. Kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni turut memperlihatkan keunikan Sabah yang kaya dengan warisan etnik serta semangat kebersamaan dalam meraikan sesuatu acara.

Pengunjung, Cynthia D Baga menyifatkan Kenduri Rakyat itu sebagai platform yang baik untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya masyarakat Sabah menerusi busana tradisional. Esther Glorie Leow pula berkata, majlis tersebut menjadi lebih bermakna apabila menghimpunkan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang yang bangga mempamerkan identiti budaya masing-masing.

Bella, 32, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq, 33, tiba di Padang Merdeka pada kira-kira jam 1 tengah hari dengan mengenakan busana tradisional suku kaum Kedayan. Pasangan itu disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud turut hadir memeriahkan Kenduri Rakyat berkenaan.