Sukan

RM240 JUTA PACU PERSIAPAN MALAYSIA MENJELANG SUKAN SEA 2027

Peruntukan sebanyak RM240 juta bagi penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka memperkukuh persiapan Malaysia dalam usaha menjadikan temasya sukan serantau itu antara yang terbaik pernah dianjurkan. Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pengumuman peruntukan berkenaan membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan semua aspek penganjuran berjalan lancar.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan tersebut dan menjelaskan bahawa persiapan awal telah digerakkan sejak tahun ini. Usaha berkenaan merangkumi penyelarasan penganjuran, penyediaan kemudahan serta pelaksanaan program yang dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat menjelang temasya berprestij itu.

Menurut Mohammed Taufiq, penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka memberikan impak besar kepada negara, khususnya dalam mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Tema “Celebrating Unity” atau “Raikan Perpaduan” akan diketengahkan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah antara masyarakat, pemimpin dan negara ASEAN.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) dan Hari Sukan Negara di Taman Komuniti Lebuh Arked, Sungai Petani. Program KIBAR merupakan inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan yang akan dilaksanakan menerusi 17 siri di 17 lokasi seluruh negara dengan menyediakan reruai sukan, aktiviti interaktif serta jelajah khas Sukan SEA 2027.

Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 September 2027. Sukan Para ASEAN 2027 pula akan diadakan di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pusat perhatian rantau ini menerusi penganjuran dua temasya sukan utama dalam tempoh berdekatan.