Ekonomi

JOHOR BUKA 26,000 PELUANG KERJAYA, BELIA JADI TUMPUAN UTAMA

– Foto Bernama –

Kerajaan Johor menyasarkan sebanyak 26,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada golongan muda di seluruh negeri pada tahun ini. Sasaran itu dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat, kemasukan pelaburan bernilai tinggi serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan bakat dan kerjaya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah peluang pekerjaan di negeri itu menunjukkan peningkatan konsisten sejak beberapa tahun lalu. Sebanyak 15,000 peluang direkodkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 17,000 pada 2024 dan sekitar 25,000 pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan perkembangan positif pasaran pekerjaan tempatan.

Beliau berkata, peningkatan tersebut turut didorong oleh pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penganjuran program kerjaya berskala besar. Menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) Mega Job Fair sahaja, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan disediakan dengan kira-kira 1,000 daripadanya melibatkan jawatan dalam kategori gaji premium.

Prestasi ekonomi Johor turut disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak lapan peratus serta nilai pelaburan yang mencecah RM110 bilion. Onn Hafiz menegaskan bahawa pencapaian ekonomi itu perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata supaya rakyat, khususnya golongan muda dan perusahaan kecil dan sederhana, dapat menikmati limpahan pembangunan negeri.

Kerajaan negeri juga akan memperluas program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi keperluan industri bergaji tinggi. Tumpuan diberikan kepada sektor pembuatan canggih, logistik, tenaga dan pusat data agar lebih ramai belia Johor berpeluang membina kerjaya berkualiti tanpa perlu berhijrah ke negeri lain atau ke Singapura.