
Seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meninggal dunia selepas disengat sekumpulan lebah ketika cuba mengambil madu di kawasan ladang milik agensi berkenaan di Ayer Putih, Kemaman pada Sabtu. Mangsa, Hafizul Mat, 40, merupakan pembantu am di MARDI Cawangan Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 pagi ketika mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 44 tahun berada di kawasan MARDI di Kilometer 18, Jalan Ayer Putih. Sarang lebah tersebut dilaporkan berada di atas sebatang pokok kering dengan ketinggian kira-kira tiga meter.
Rakan sekerja mangsa dikatakan telah menasihatinya supaya tidak mengambil madu berkenaan kerana bimbang terhadap keadaan pokok dan risiko serangan lebah. Mangsa bagaimanapun meneruskan hasratnya serta meminta rakannya menunggu kira-kira 50 meter dari lokasi sebelum memanjat pokok tersebut.
Ketika berada di atas pokok, mangsa diserang dan dikerumuni sekumpulan lebah sebelum menjerit meminta rakannya melarikan diri. Dia kemudian turun dari pokok dan masuk ke dalam lopak air berhampiran bagi mengelakkan serangan berterusan, namun selepas keluar mangsa mengadu sakit pada tangan dan kaki sebelum rebah tidak sedarkan diri serta mengalami kekejangan.
Rakan mangsa mendapatkan bantuan dua lagi kakitangan sebelum menghubungi ambulans, dan Hafizul kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut. Pihak hospital bagaimanapun mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan pada jam 6.42 petang.




