Kesihatan

JEREBU: SERIAN KEKAL CATAT IPU TERTINGGI, KUALITI UDARA LEMBAH KLANG KEMBALI MEROSOT

Serian di Sarawak terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara ketika keadaan jerebu berlarutan pada Sabtu. Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 17 lokasi berada dalam kategori tidak sihat setakat jam 4 petang, susulan peningkatan bacaan di beberapa kawasan termasuk Lembah Klang.

Bacaan IPU di Serian meningkat kepada 178 berbanding 177 sejam sebelumnya, manakala Kuching turut mencatatkan peningkatan kepada 171. Sri Aman kekal pada paras 168, Samarahan meningkat kepada 164 dan Sibu terus berada dalam kategori tidak sihat dengan bacaan 157.

Beberapa kawasan di Lembah Klang pula kembali menunjukkan peningkatan selepas merekodkan penurunan pada awal petang. Cheras naik sebanyak lima mata kepada 149, manakala Batu Muda dan Putrajaya masing-masing mencatatkan bacaan IPU 121 ketika kualiti udara kembali merosot menjelang malam.

Di Johor, Larkin dan Pasir Gudang masing-masing mencatatkan bacaan 158 dan 155, manakala Tangkak menunjukkan trend penurunan kepada 102. Bukit Rambai di Melaka dan Bintulu di Sarawak pula kembali memasuki kategori tidak sihat apabila masing-masing merekodkan bacaan 108 dan 106.

Utara Semenanjung terus mencatatkan kualiti udara terbaik dengan Langkawi merekodkan bacaan IPU terendah negara pada paras 14, diikuti Kangar dengan 19 dan Alor Setar pada paras 23. Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar yang berat, memakai pelitup muka apabila perlu serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami masalah pernafasan.