Sukan

SUKAN ASIA AICHI-NAGOYA BUKA TIRAI, JEPUN KEMBALI JADI TUAN RUMAH SELEPAS 32 TAHUN

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuka tirainya pada Sabtu dengan Jepun kembali menganjurkan temasya sukan terbesar benua itu buat kali pertama sejak edisi Hiroshima pada 1994. Sebanyak 45 negara mengambil bahagian dalam 43 jenis sukan yang dipertandingkan sepanjang temasya berprestij berkenaan.

Pertandingan bukan sahaja berlangsung di Nagoya, malah turut diadakan di beberapa bandar lain di wilayah Aichi serta kawasan berdekatan seperti Shizuoka dan Gifu, selain Tokyo dan Osaka. Beberapa acara termasuk hoki, luncur air dan skuasy menawarkan peluang kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus meningkatkan persaingan dalam kalangan atlet terbaik Asia.

Menurut Majlis Olimpik Asia, lebih 17,000 atlet dan pegawai terlibat dalam kejohanan yang diadakan setiap empat tahun itu. Jepun menampilkan kontinjen terbesarnya dengan 932 atlet dan meletakkan sasaran untuk mengatasi pencapaian 78 pingat emas yang pernah diraih pada Sukan Asia Bangkok 1966.

Selain sukan teras Olimpik, temasya kali ini turut mempertandingkan acara bukan Olimpik seperti sepak takraw dan kabadi, manakala e-sukan sekali lagi menjadi sebahagian daripada program pertandingan. Aichi-Nagoya merupakan penganjuran ketiga Sukan Asia oleh Jepun selepas Tokyo pada 1958 dan Hiroshima pada 1994.

Penganjuran temasya itu bagaimanapun berdepan cabaran kenaikan kos serta pertambahan jumlah sukan dan atlet sejak Aichi bersama ibu kotanya, Nagoya, dipilih sebagai tuan rumah sedekad lalu. Anggaran perbelanjaan asal bagi Sukan Asia dan Sukan Para Asia meningkat daripada 100 bilion yen, bersamaan kira-kira AS$637 juta, kepada lebih 370 bilion yen, manakala kerajaan Jepun menyediakan subsidi sebanyak 13.6 bilion yen menerusi langkah khas.