Tempatan

KANAK-KANAK MAUT TERJATUH DARI JAMBATAN VICTORIA, POLIS BUKA DUA KERTAS SIASATAN

Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kematian kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria, Enggor, Kuala Kangsar.

Mangsa, Abdul Rafee Abdul Halim, dipercayai sedang berjalan sambil berpegangan tangan dengan bapanya sebelum terjatuh melalui sebuah lubang pada jambatan berkenaan. Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Beberapa individu telah dipanggil memberikan keterangan dan siasatan awal mendapati tiada unsur kecuaian, manakala keputusan bedah siasat masih ditunggu.

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar menutup sementara akses ke bahagian struktur besi jambatan sehingga kerja menggantikan kayu landasan yang usang dan reput selesai. Peruntukan kira-kira RM50,000 turut dipohon bagi memasang jaring keselamatan di bawah jambatan.