Ekonomi

HAD KELAYAKAN BUDI MADANI NAIK SEMULA KEPADA 300 LITER

Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI dinaikkan semula daripada 200 kepada 300 liter berkuat kuasa 1 September 2026, menurut Kementerian Kewangan.

Pelarasan itu melibatkan BUDI MADANI RON95 dan BUDI MADANI Diesel. Harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel.

Pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip pula layak menerima sehingga 400 liter sebulan, termasuk tambahan 100 liter melalui permohonan. Mereka yang telah menerima kelulusan sebelum ini tidak perlu memohon semula kerana pelarasan dibuat secara automatik.

Permohonan baharu bagi tambahan 100 liter BUDI Diesel boleh dikemukakan melalui portal rasmi BUDI MADANI. Seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi, manakala lebih 700,000 turut layak menerima diesel pada harga subsidi.