Jenayah

LELAKI WARGA ASING DITAHAN DISYAKI CABUL WANITA DALAM TREN LRT

Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas disyaki mencabul seorang wanita tempatan ketika mereka berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 19 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun sedang menaiki tren dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Stesen Pasar Seni. Suspek didakwa menggeselkan tubuhnya pada bahagian belakang mangsa ketika tren melalui Stesen LRT Setiawangsa.

Mangsa dilaporkan beberapa kali cuba menolak suspek, namun tindakannya tidak diendahkan. Wanita berkenaan kemudian berpindah ke bahagian lain dalam tren sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Suspek berusia 43 tahun ditahan Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya. Lelaki itu direman selama empat hari sehingga 25 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.