
Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah apabila merekodkan 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kekalahan, sekali gus mengatasi rekod dunia milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang tidak tewas dalam 108 perlawanan antara 1989 hingga 1994.
Rekod tersebut dilakar selepas Harimau Selatan menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi pembukaan Liga Super merangkap perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim. Gol kemenangan JDT dijaringkan Marcos Guilherme, Oscar Arribas dan Shahab Zahedi.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai hasil pembangunan, pelaburan dan kepercayaan berterusan terhadap projek kelab sepanjang 12 tahun. Menurutnya, transformasi tersebut telah menyediakan asas kukuh untuk JDT mencapai tahap tertinggi dan mencipta sejarah dalam bola sepak dunia.
Pengendali dari Sepanyol itu turut menghargai visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam membangunkan kelab termasuk menyediakan kemudahan bertaraf tinggi. Munoz menegaskan JDT mahu terus bekerja keras bagi melanjutkan rekod tanpa kalah tersebut dan menambah lebih banyak kejayaan.




