
Operasi penguatkuasaan di Kompleks Pasar Besar Meru, Klang bertukar mencemaskan apabila lampu di kawasan pasar berkenaan tiba-tiba terpadam ketika pihak berkuasa sedang menahan pekerja asing. Kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas operasi bermula pada jam 5.20 pagi, Sabtu.
Operasi dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan bantuan JIM Putrajaya, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Gangguan elektrik itu menyukarkan pemeriksaan sehingga proses dokumentasi terpaksa dipindahkan ke kawasan yang mempunyai pencahayaan lebih baik.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, sebanyak 54 individu disyaki PATI ditahan, terdiri daripada 48 lelaki dan enam wanita berusia antara 18 hingga 51 tahun. Mereka ialah 29 warga Myanmar, 16 Bangladesh, empat Indonesia, tiga India dan dua Nepal.
Kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan. Semua tahanan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut, manakala kemungkinan bekalan elektrik diputuskan sebagai strategi pihak tertentu turut tidak diketepikan.




