
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mencipta rekod dunia apabila menentang Kuching City FC dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos.
Harimau Selatan kini mencatat 108 perlawanan liga tanpa kalah, menyamai rekod kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas. Sekiranya tidak tewas, JDT akan menjadi pemegang tunggal rekod dunia dengan 109 perlawanan liga tanpa kekalahan.
Pertembungan itu turut menjadi aksi pembukaan Liga Super 2026-2027 dan menawarkan mata untuk kedudukan liga. JDT juga memburu kejuaraan Piala Sumbangsih ke-11 selepas memenangi trofi tersebut sebanyak 10 kali.
Kuching City dijangka memberi tentangan sengit selepas muncul naib juara Liga Super musim lalu. Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu dalam final Piala Malaysia dengan JDT mencatat kemenangan 2-0.




