
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia pada Isnin.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, prosedur tersebut berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
Anwar kini menjalani rawatan fisioterapi dan berada di bawah pemantauan pakar bagi memastikan proses pemulihannya berlangsung dengan baik. Bagaimanapun, lokasi pembedahan itu tidak dinyatakan.
Sebelum ini, beliau dilaporkan menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan perubatan. Perdana Menteri dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.




