
KUALA LUMPUR: Aliff Aziz dan Melinda Dadew dipilih membintangi Teater Muzikal Mansur & Liu sebagai Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu. Pementasan yang diinspirasikan daripada Sulalatus Salatin itu mengangkat pertemuan kedua-dua tokoh berkenaan serta hubungan diplomatik antara Kesultanan Melaka dengan Dinasti Ming.
Karya tersebut merupakan teater muzikal pertama arahan Datuk M. Nasir. Selain mengarah, beliau turut menghasilkan lebih 30 lagu dan skor muzik asli yang menggabungkan unsur muzik tradisional Melayu dengan susunan orkestra kontemporari.
Pementasan berskala besar itu turut menampilkan Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot dan Anas Ridzuan. Gabungan cahaya, bunyi, tarian, busana, rekaan pentas dan teknologi moden akan digunakan bagi menggambarkan kemegahan era Kesultanan Melaka.
Diterbitkan oleh M. Nasir dan Datin Marlia Musa menerusi Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment, Mansur & Liu akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September 2026. Tiket berharga antara RM88 hingga RM408 mula dijual pada 10 Ogos, jam 3 petang.




