
Pasukan Selangor Red Giants (SRG) meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) x Esports World Cup (EWC) 2026 yang berlangsung di Paris Expo Porte de Versailles, Perancis.
Penolong jurulatih SRG, Poon Kok Sing (OzoraVeki) berkata pasukan tetap memberi tumpuan kepada setiap perlawanan secara berperingkat dan tidak memandang rendah mana-mana lawan. Walaupun mengintai kedudukan podium, beliau menegaskan fokus utama adalah memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Beliau turut menjelaskan bahawa persiapan SRG menjelang kejohanan tidak banyak berubah berbanding kejohanan antarabangsa sebelum ini, dengan pemain terus menjalani latihan secara konsisten dan berdisiplin. Sokongan padu daripada peminat Malaysia pula dianggap sebagai pembakar semangat untuk pasukan terus berjuang mengharumkan nama negara. SRG hadir ke kejohanan itu dengan rekod cemerlang selepas muncul juara MSC x EWC pada 2024 dan naib juara pada edisi 2025.




