
SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, bakal menerima sokongan lebih istimewa apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) merancang menyediakan tribun khas sempena Grand Prix (GP) Malaysia 2026 pada Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata inisiatif itu sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang Hakim Danish selain memberi peluang kepada peminat tempatan berhimpun memberikan sokongan kepada pelumba muda negara itu.
Peminat yang telah membeli tiket MotoGP juga akan dibenarkan menukar tiket mereka kepada tiket tribun khas Hakim Danish sebaik sahaja jualan bagi seksyen berkenaan dibuka. Langkah ini dijangka mewujudkan suasana lebih meriah dan menjadi pembakar semangat buat Hakim Danish apabila beraksi di laman sendiri.




