
Musim durian tetap boleh dinikmati, namun pakar diet mengingatkan orang ramai supaya mengawal jumlah pengambilan bagi mengelakkan kalori dan karbohidrat berlebihan. Menurut pakar diet Alpro Pharmacy, Khoo Wei Jin, dua ulas durian bersaiz sederhana sudah memadai sebagai satu hidangan buah.
Beliau menjelaskan, seulas durian bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 45 kilokalori dan lapan gram karbohidrat. Ini bermakna 10 hingga 15 ulas durian boleh menyumbang jumlah kalori yang tinggi, hampir menyamai satu hidangan penuh seperti makan tengah hari atau makan malam.
Walaupun durian mempunyai khasiat seperti serat, kalium, vitamin C, vitamin B dan antioksidan, pengambilan berlebihan boleh meningkatkan beban gula dalam darah, terutama bagi individu yang mempunyai diabetes, pradiabetes, masalah berat badan atau sejarah keluarga diabetes.
Orang ramai disaran menikmati durian secara sederhana, berkongsi bersama keluarga atau rakan-rakan, serta mengelakkan makan dalam jumlah banyak selepas hidangan berat berasaskan nasi.




