
MALAYSIA kini sedang melangkah ke fasa baharu pembangunan pertahanan dengan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), iaitu rangka kerja strategik yang menekankan kemandirian teknologi, pemerkasaan rantaian bekalan, dan pengkomersialan hasil penyelidikan serta pembangunan (R&D) tempatan.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, DIPN telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan akan dilancarkan dalam masa terdekat, menjadikan dasar ini sebagai titik lonjakan bagi ekosistem industri pertahanan Malaysia.
Mandat DIPN: Kemandirian Teknologi & Kandungan Domestik
Menurut Kementerian, DIPN digariskan sebagai tulang belakang untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dengan fokus kepada peningkatan kandungan domestik dan keupayaan berdikari dalam sektor strategik seperti sistem autonomi, persenjataan, aeroangkasa, serta keupayaan siber elektromagnetik.
“Malaysia mesti membangunkan rantaian bekalan yang berdaya tahan,” tegas Khaled, sambil menggariskan kerjasama erat antara kerajaan, universiti, dan syarikat tempatan sebagai teras pencapaian.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko geopolitik, tetapi juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat,” tegas Khaled baru-baru ini.
STRIDE & MPSTP: Menjajarkan Sains–Teknologi dengan Keperluan ATM
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Kementerian Pertahanan telah diberikan peruntukan untuk memperkasa Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai peneraju R&D pertahanan, disokong oleh Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) bagi menetapkan hala tuju nasional.
Menurut Kementerian, langkah itu mempunyai matlamat jelas, iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilengkapi teknologi moden dan relevan, bukan sekadar mengikut arus tetapi memimpin dalam segmen tertentu.
Khaled menekankan bahawa inovasi tempatan seperti dron taktikal dan sistem radar pintar akan menjadi sebahagian daripada pelan transformasi ini. Kenyataan ini diperincikan ketika pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP).
Libat Urus Awam & Laluan Pelaksanaan
DIPN dibangunkan secara komprehensif dan terbuka, dengan portal libat urus awam dilancarkan untuk mengumpul pandangan masyarakat dan pemain industri.
Pendekatan inklusif ini memastikan setiap pihak berkepentingan- daripada pengeluar komponen kecil hingga syarikat teknologi besar – dapat menyumbang idea.
“Untuk tahun 2025, sasaran utama kita adalah menyiapkan Dasar Industri Pertahanan Negara dan melancarkannya semasaPameran Maritim Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25),” katanya, menandakan garis masa dan komitmen kementerian terhadap penyertaan awam yang telus.
ICP & Pemindahan Teknologi: Menutup Jurang Keupayaan
Mengenai Program Kerjasama Industri (Industrial Collaboration Program – ICP), Kementerian berkata, ia menjadi wahana pemindahan teknologi berimpak tinggi, daripada robotik dan sistem autonomi ke siber elektromagnetik – untuk menyerap kepakaran global, mengadaptasi di peringkat tempatan, dan memacu komersialisasi.
Selain itu, DIPN turut memperincikan keperluan audit industri melalui mekanisme seperti penubuhan Pengurusan Pertahanan Strategik (Strategic Defence Management – SDM) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), bagi memetakan pemain tempatan dan memantau manfaat ICP.
Langkah ini penting untuk memastikan setiap kontrak membawa pulangan teknologi yang nyata, bukan sekadar pemindahan atas kertas.
Integriti & Tadbir Urus Perolehan
Dalam ekosistem perolehan bernilai berbilion ringgit, Khaled menekankan konsep integriti sebagai “benteng yang melindungi negara daripada ketirisan” – serentak menuntut disiplin dan budaya beretika. Penegasan itu dibuat ketika sambutan Hari Integriti & Inovasi Kementerian Pertahanan (MINDEF), dengan amaran jelas terhadap salah guna kuasa dalam perolehan.
Trajektori Perolehan: Meja Lukis DIPN di LIMA’25
Semasa LIMA’25, MINDEF memeterai pelbagai kontrak, Surat Niat (Letter of Intent – LoI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) berjumlah RM11 bilion secara keseluruhannya, meliputi pemerkasaan aset darat, maritim, udara, siber serta kebajikan ATM.
Langkah ini jelas menggambarkan keperluan DIPN sebagai kerangka penyelaras jangka panjang yang menyatu padukan pemilikan aset dan pembangunan industri.
Diplomasi Industri: Menambat Pasaran Serantau
Dalam pada itu, DIPN bakal menggariskan menuntut ekosistem eksport yang kompetitif; pelaksanaan berfasa dengan sasaran hab serantau mengukuhkan kehadiran produk tempatan – dari kenderaan perisai ke sistem komunikasi taktikal – di rantau ASEAN dan Indo-Pasifik.
Kerangka ini saling menyokong diplomasi pertahanan, pemadanan standard dan kebolehserasian (interoperability) aset.
DIPN bukan sekadar dasar, tetapi ia adalah peta jalan industri yang menggabungkan sains, teknologi dan pasaran; membina kemandirian, memacu daya saing, dan pada akhirnya memastikan pertahanan negara berakar pada keupayaan tempatan yang berintegriti.
Dengan pelaksanaan yang konsisten, Malaysia berpotensi muncul sebagai pemain utama dalam industri pertahanan serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan strategik negara di pentas global.




